Ahmad Bin Abdullah,
Syurga Firdaus,
Taman Wahyu,
Arasy Allah S.W.T
00000.
27 Rabiul Akhir 1431
Kehadapan bonda, ayahanda dan saudara-saudari Islam yang adik cintai sekalian,
Assalamualaikum semua, apa khabar? Adik harap sihat-sihat sejahtera semuanya. Adik di sini juga sihat, semua luka-luka akibat digigit semut dan serangga kemarin sudah sembuh, para bidadari syurga yang merawat luka-luka adik. Adik sudah kembali pulih seperti biasa dan adik sudah boleh berjalan. Mungkin sebab minuman dan makanan yang dihidangkan di syurga ini yang buat adik cepat sembuh. Mereka semua di sini baik-baik belaka.
Bonda, Ayahanda, dan saudara-saudari Islam sekalian,
Pertama sekali adik ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada bonda dan ayahanda kerana telah memelihara adik selama sembilan bulan sepuluh hari di dalam kandungan bonda. Sepanjang tempoh itu, adik merasa sungguh bahagia dan selama sembilan bulan sepuluh hari inilah juga adik dapat merasakan kasih sayang daripada bonda, walaupun sekejap, cukup untuk adik kenang buat selama-lamanya. Kemuncak tanda kasih sayang bonda adalah apabila bonda membuat keputusan untuk meninggalkan adik di tepi tong sampah. Masihkah bonda ingat? Adik harap adik sudah menjadi anak yang baik sebab semasa bonda tinggalkan adik di tempat yang dipenuhi dengan serangga mencari makanan, adik tidak menangis sedikit pun. Belum sempat adik ingin menangis, malaikat Izrail datang menjemput adik dan membawa adik ke syurga bertemu Allah Azzawajalla.
Bonda, Ayahanda, dan saudara-saudari Islam sekalian,
Jangan risau tentang keadaan adik, di sini ramai kawan yang senasib dan redha dengan perbuataan bonda dan ayahanda mereka. Tidak kira bangsa mahupun warna kulit mereka senasib seperti adik. Setelah ditinggalkan, mereka lantas dijemput ke syurga, kehadiran mereka di sambut oleh para nabi, syuhada, dan para bidadari syurga. Semalam ada yang mengatakan, kini, sudah menjangkau lebih daripada 90 bayi-bayi yang senasib dengan adik. Memang kami sedih, memang kami pilu kerana ditinggal oleh bonda dan ayahanda masing-masing, tapi tak mengapa, perbuatan ayahanda dan bonda menyebabkan adik dan rakan-rakan sekalian kini berada di syurga.
Bonda dan Ayahanda,
Adik tahu, mungkin bonda tidak mengerti dan tidak memahami kepentingan seorang anak dalam keluarga dan adik tahu bonda akan berasa malu dan keberatan untuk menjaga adik. Mungkin bonda fikir walaupun adik masih hidup dan dijaga, tetapi masyarakat sudah tentu tidak akan menerima adik dan akan membenci dan menghina adik. Sebab itulah bonda membuang adik kan?? Hati bonda suci tapi sucikah sifat bonda yang sanggup membuang adik? Adik tahu kini, mungkin ayahanda sudah pergi meninggalkan bonda keseorangan.
Bonda,
Bonda berseronok dengan keseronokan dunia tetapi tahukah bonda bahawa adik lagi seronok dan bahagia bersama ahli-ahli syurga dan para malaikat yang tidak putus-putus mendidik dan menjaga adik. Adik faham bonda tertekan apabila ayahanda mula melarikan diri dan berjauhan serta tidak mengaku bahawa kandungan itu adalah hak dan tanggungannya. Mungkin salah adik yang membebankan jiwa dan perasaan bonda. Seperti marahkan nyamuk seekor tetapi kelambu dibakar. Adik bukan nyamuk bonda, adik bukan binatang, adik manusia yang dahagakan kasih sayang dan belaian manja seorang bonda dan ayahanda tercinta.
Adik takut, adik gerun, adik sedih mendengar segala jeritan yang datangnya dari neraka jahanam, setiap hari mereka di seksa oleh malaikat. Adik bertanya apakah kesalahan mereka, para bidadari menjawab itulah balasan dosa mereka. Para bidadari juga ada berkata, Allah S.W.T berfirman dalam surah an-nisa ayat 93, “Dan barang siapa membunuh seorang yang beriman dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahanam, dia kekal di dalamnya. Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan azab yang berat baginya”. Tambah para bidadari lagi, hukuman di dunia juga akan diberatkan kepada pesalah seperti bonda. Tetapi adik tidak risau kerana adik tahu bonda mungkin sedang bersembunyi di rumah dan tidak akan ditangkap oleh pihak berkuasa. Cuma yang adik takutkan, semua hukuman yang menanti bonda di akhirat kelak. Tetapi usah gusar bonda, adik sentiasa mendoakan agar bonda diampunkan oleh Allah dan Allah akan sentiasa menerima taubat nasuha bonda.
Bonda,
Adik cinta bonda, tetapi cinta bonda pada perkara yang membuat bonda sendiri merana dan terseksa. Bonda sedarlah! Bonda boleh menjadi seorang ibu yang baik. Bonda dilahirkan dengan hati yang bersih. Janganlah bonda kotorkan dengan perkara yang memudaratkan diri bonda. Hukuman yang bakal bonda hadapi tidak memadai dengan apa yang bakal bonda rasai di ukhrawi. Adik sayang bonda. Adik harap bonda akan menyesal dengan apa yang telah bonda lakukan. Bonda, jalinkanlah ikatan yang sah dengan orang yang boleh menjaga dan membimbing bonda ke jalan yang benar. Mudah-mudahan bonda akan memperoleh kehidupan baru bersama zuriat yang halal. Adik berharap bonda akan menjaga zuriat bonda nanti dengan sebaik mungkin, sehingga dia menjadi anak yang berguna kepada bonda.
Yang benar,
Ahmad bin Abdullah
(Ahli Syurga).
(Ahli Syurga).